Ahad, 10 Januari 2010

Pengalaman tukar wiper

Selepas 2 tahun tak tukar-tukar wiper, setelah puas gak la dengar leteran isteri, saya mengambil keputusan pergi tukar wiper keta. Pusing-pusing di seksyen 7 baru, kawasan dekat mamak, tanya satu kedai kat sini, tokeynya mahu RM100 untuk wiper jenis silikon. Setelah bincang-bincang ngan isteri, ambil keputusan untuk pergi tengok tempat lain dulu. 

Tengah jalan nak pergi tempat lain ni, saya telefon kawan lama, tanya harga wiper jenis silikon kereta Myvi. Ya la, dah tak tau kena la bertanya. Lagipun dah lama tak kontek dia ni…Kira sambil-sambil borak la.

Pergi Brothers seksyen 19 Shah Alam. Masuk kedai terus tanya jurujual cina ni pasal wiper. Tanya itu ini pun takde la lama sangat. Harga dia bagi RM70. Kira ok la. Lagipun tengah nak cepat sebab nak pergi Klang pulak lepas ni. Saya pergi bayar kat kaunter sementara isteri pergi tengok jurujual ni pasang wiper. Lepas je pasang, masuk kereta, pusing kat area Seksyen 20, hujan la pulak. Terus boleh test wiper. Semuanya ok, dalam hati rasa tenang la sikit, takde la nak dengar bebelan lagi…hehe. 

Tengok jam dah dekat pukul 5, pergi solat di Seksyen 2 dulu. Masa tengah parking, baru tengok wiper jurujual tu pasang, terlebih saiz la pulak. Geram betul la. Pe-pe hal, solat dulu. Dah solat, pergi ambil sepupu isteri dan terus pergi balik ke kedai Brothers seksyen 19. Isteri dah warning jangan marah-marah, tapi dalam hati dah bengkek dah ni.

Sampai kedai terus tanya si jurujual kenapa pasang wiper terlebih saiz. Selamba dia cakap saiz yang sepatutnya (16”) dah habis so dia pasang 17”. Aikk..bole pulak dia cakap camtu. Malas nak cakap banyak saya demand dia pasang 16” masa tu gak. Muka saya ni muka garang kot, jurujual ni pun tak cakap banyak, dia kata nak pergi ambik saiz 16” dari branch satu lagi kat seksyen 23. Lepas tunggu 15 minit camtu baru la selesai “urusan” penukaran kembali wiper. Huhu…buang masa tul la.

Kesimpulannya:
  • Periksa dan ketahui saiz wiper kenderaan anda. 
  • Buat window shopping dulu untuk mendapatkan harga wiper. Macam saya, saya telepon kawan tanya berapa harga biasa untuk wiper kereta Myvi. Ya la, dah 2 tahun, baru nak tukar.
  • Jangan membeli belah dalam keadaan tergesa-gesa. Nanti keputusan pun tergesa-gesa. Banyak perkara diabaikan.
Lepas ni memang tak pergi lagi la kedai Brothers seksyen 19 tu. Selamba je dia nak menipu. Kalau takde saiz tu cakap je la, jangan main tibai je asalkan ada sale.

Selasa, 5 Januari 2010

Perubahan warna alam

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu ...). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la ...) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya ..."

daripada
Ahmad Isa bin Tan Sri Dato' Hassan

Isnin, 4 Januari 2010

Kelebihan Surah Al-Ikhlas

Seorang sahabat menghantar email mengenai kelebihan surah Al-Ikhlas untuk dikongsi bersama-sama. Diharap dapatlah dijadikan panduan dan teladan.

"Au zubillah himinashsyaitan nirrajim...bismilla hirrahmannirrahim"
- Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga disekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan. Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas, kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussomad... Lamyalid walam yu-lad. Walam yakul lahu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali.

Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut salam kita. Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur.

Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut.. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad s.a.w:
"Barang siapa membaca Qul huwa"llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru dari pihak Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa sifulan itu telah menjadi pemendekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka". Inilah yang dinamakan membaca Qulhua"llah ahad satu khatam yaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita sehari.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada para sahabat. Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar berkata kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang masih kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus
Al-Quran.

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan.
Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu
padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat
80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca Surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca Surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah SAW lagi:
Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s. Siapa membaca surah Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat Jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke Jumaat yang berikutnya.

Bacalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas 3 kali setiap pagi dan petang, insyaAllah tidak akan mengalami apa-apa kesusahan.

Ahad, 3 Januari 2010

Takaful dan pelan pendidikan

SETIAP ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka, sama ada dari sudut pemakaian, pemakanan, lebih-lebih lagi perkara berkaitan pendidikan mereka. Memiliki pendidikan sempurna adalah antara faktor ke arah membina kehidupan bahagia. Pendidikan merupakan salah satu agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu.

Jika dilihat kepada situasi semasa, ramai di antara pelajar-pelajar yang boleh dikategorikan sebagai cemerlang tidak dapat menyambung pelajaran mereka disebabkan faktor kewangan yang tidak mencukupi dan tidak mendapat bantuan, sama ada berbentuk pinjaman atau biasiswa dari mana-mana institusi yang menawarkannya seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebagainya. Lebih 30,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang layak meneruskan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan dikhuatiri enggan berbuat demikian ekoran pembiayaan pendidikan yang masih kabur (Utusan Malaysia, 2 Februari 2006).

Pelajar-pelajar ini mengharapkan 100 peratus pinjaman atau biasiswa dari institusi-institusi yang terlibat, namun disebabkan kegagalan peminjam-peminjam sebelum ini menjelaskan pinjaman pendidikan mereka, menyebabkan generasi pelajar hari ini gagal mendapatkan pinjaman untuk memulakan pengajian.

Ibu bapa sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya. Memandangkan kos pendidikan sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, ibu bapa perlu merancang kewangan khususnya berkaitan pendidikan sejak dari awal kelahiran anak mereka agar anak-anak tersebut berupaya memperoleh pendidikan yang sempurna. Apabila ibu bapa mampu merancang, sudah pasti polemik berkaitan pinjaman pendidikan ini tidak timbul lagi.

Sebenarnya, konsep merancang kewangan dan mengurus risiko yang bakal dihadapi terkandung dalam firman Allah yang bermaksud: Yusuf berkata: Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuaikan hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar) kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang akan kamu simpan. (Yusuf: 47 dan 48).

Manusia diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersiap-sedia menabung dalam menghadapi kesusahan yang mendatang khususnya berkaitan pengurusan kewangan. Walaupun sudah 1,400 tahun, konsep demikian masih relevan dengan kehidupan masyarakat Islam hari ini.

Permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia meningkat dari tahun ke tahun sedangkan kekosongan yang ada tidak mampu menampung jumlah permohonan yang begitu tinggi. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi, sebanyak 139,207 permohonan bagi kemasukan pelajar ke IPTA bagi sesi 2009/2010 telah diterima.

Pertumbuhan Ekonomi Melayu
Daripada jumlah itu, 71,173 permohonan adalah bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya, sedangkan kekosongan hanyalah sekitar 28,000 manakala bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), permohonan yang telah diterima adalah sebanyak 68,034 permohonan dan kekosongan yang ada hanyalah sejumlah 40,500 sahaja (Kenyataan Akhbar , 24 Februari 2009).

Berdasarkan Kajian dari Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia mendapati hampir 120,000 pelajar Melayu lepasan SPM dan STPM gagal mendapat tempat di IPTA pada tahun 2005. Hasil kajian berdasarkan penelitian terhadap statistik Unit Pengambilan Universiti (UPU) itu menunjukkan kumpulan tersebut mempunyai kelayakan yang mencukupi tetapi gagal melanjutkan pengajian ekoran bilangan tempat yang sangat terhad. (Utusan Malaysia, 13 Julai 2005).

Biarpun statistik ini dikeluarkan pada tahun 2005, namun ia sinonim dengan situasi semasa hari ini di mana saban tahun jumlah permohonan kemasukan ke IPTA meningkat dan melebihi jumlah kekosongan yang ditawarkan oleh pihak IPTA tersebut. Selain itu, bagi tahun ini, pemilihan pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti akan ditentukan melalui sistem meritokrasi. Sebanyak 90 peratus akan dinilai melalui pencapaian akademik dan selebihnya 10 peratus daripada penglibatan ko-kurikulum mereka.

Jika pelajar-pelajar terbabit terdiri daripada pelajar-pelajar yang kurang aktif, sudah pasti peluang mereka amat sukar. Justeru, bagi memastikan anak-anak masih dapat melanjutkan pengajian mereka, tidak mungkin tidak para ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke IPTS yang ada di dalam dan luar negara. Ini sudah semestinya melibatkan kos yang begitu tinggi.

Perkara lain yang perlu diketahui oleh para ibu dan bapa ialah kos pengajian bagi kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA dan IPTS semakin meningkat. Sebagai contoh, bagi kursus undang-undang yang ditawarkan di IPTA, kos pengajian adalah sekitar RM35,000 - RM40,000 dan akan meningkat kepada RM70,000 menjelang tahun 2015. Begitu juga bagi kursus-kursus lain seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya (Berita Harian,2001)

Bagi mengurangkan bebanan ibu bapa yang terpaksa menanggung kos pendidikan yang tinggi, di antara instrumen lain yang boleh dijadikan alternatif kepada pinjaman dan biasiswa pendidikan ialah dengan menyertai pelan takaful. Pengendali-pengendali takaful bukan sahaja menyediakan pelan perlindungan dan pelaburan semata-mata, malah terdapat juga pelan pendidikan supaya ibu bapa dapat menyediakan dana atau tabungan pendidikan untuk anak-anak mereka di masa hadapan nanti. Pelan seperti ini akan dapat membantu pelajar-pelajar meneruskan pendidikan mereka, sama ada menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS.

Bagaimanapun katanya, di Malaysia, masyarakat masih kurang faham tentang kepentingan takaful terutama kesedaran mengenai perlindungan masa depan anak-anak seperti pendidikan. Pelbagai pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan keperluan perlindungan pendidikan menjadi satu agenda penting dalam pengurusan kekeluargaan dan diambil berat oleh ibu bapa.
Dalam merancang kewangan, ibu bapa perlu mengetahui apa sebenarnya keperluan untuk keluarga mereka dan memastikan keutamaan diberikan kepada keperluan yang benar-benar mendesak seperti keperluan pendidikan anak-anak. Sekiranya ibu bapa peka dengan keperluan dan kehendak pendidikan semasa, sudah pasti mereka akan merancang kewangan dan perbelanjaan serta mengambil pelan takaful pendidikan untuk dana pendidikan anak-anak mereka pada masa akan datang.

Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, "Sesungguhnya anak-anak kita adalah permata." Jadi tugas kita selaku ibu bapa ialah menggilap permata-permata ini agar sentiasa bersinar dengan memberikan pendidikan yang sepatutnya kepada mereka. Jika anak-anak ditinggalkan dengan dana pendidikan yang mencukupi, sudah pasti mereka akan dapat meneruskan pengajian dan meningkatkan lagi tahap pendidikan di Malaysia ini. Selain itu, matlamat melahirkan insan yang berilmu pengetahuan sebagaimana yang dinyatakan did alam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan.

Dipetik dari Utusan Malaysia