Suatu hari Imam Shafie bertanya kepada anak muridnya yang ada, "Apakah yang paling ringan?". Maka pelbagai jawapan diberikan oleh mereka. Antaranya angin, debu, kapas dan banyak lagi lah. Imam Shafie berkata, "Jawapan kamu semua itu betul tetapi yang paling ringan sekali ialah
meninggalkan solat."
Tanyalah pada diri kita sendiri, adalah terdapat penyesalan setelah meninggalkan solat? Atau adakah kita menganggap seolah-olah tiada apa yang berlaku. Seolah-olah hanya angin yang berlalu. Tidak bernilai dan tidak dihargai.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan neraka Waillah bagi orang yang lalai dalam solatnya.” (Surah Al-Ma’un)
Pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga tetapi masih belum mendapat zuriat. Suatu hari terdetik di dalam hatinya "kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam. " Diizinkan Allah, isteri lelaki tadi hamil dan melahirkan anak. Lelaki ini runsing kerana dia telah bernazar untuk minum air kencing anjing hitam. Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Umat Nabi Muhammad, jika bernazar benda yang haram maka tidak payah buat tetapi kena denda(dam) atau sedekah tetapi pada zaman Nabi Musa, barangsiapa yang bernazar walaupun haram tetap harus melaksanakan nazar itu. Lelaki ini dengan susah hati pergi bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan apa yang terjadi. Nabi Musa menjawab bahawa dia tidak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi perlu minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa memerintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air itu. Lelaki itu lantas menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.
Di sini, kita dapat melihat betapa hinanya orang yang meninggalkan solat sampai air yang jatuh dari bumbung rumahnya adalah lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air dari tangan empunya badan lagi. Jadi kalau nak makan kat luar, pilihlah kedai yang tuan punyanya menjaga solat, bukan seharian kat kedai sahaja, terlalu sibuk hingga tiada masa untuk mendirikan solat.
Barangsiapa yang (sengaja) meninggalkan solat fardhu lima waktu :
- Subuh - Allah SWT akan mencampakkannya kedalam neraka Jahannam selama 60 tahun* di akhirat. (*nota - 1 tahun diakhirat=1000 tahun didunia=60,000 tahun)
- Zuhur - Dosa sama seperti membunuh 1000 orang muslim.
- Asar - Dosa sama seperti meruntuhkan Ka'abah
- Maghrib - Dosa sama seperti berzina dengan ibubapa sendiri.
- Isyak - Allah SWT berseru kepada mereka :- "Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi redha engkau tinggal dibumiKu dan menggunakan nikmat-nikmatku, segala yang digunakan dan dikerjakan adalah berdosa kepada Allah SWT."
Solat adalah perkara pertama yang akan disoal oleh Allah di hari akhirat nanti. Jika solat sempurna, maka yang lainnya InsyaAllah akan menjadi mudah. Akan tetapi jika solat tidak lepas, maka yang lain akan gagal. Barang siapa dapat menjaga solat 5 waktu dengan cara berjemaah (untuk lelaki), maka Allah menjanjikan 5 ganjaran:
1. Dilepaskan dari kesempitan hidup dan mendapat keberkatan rezeki.
2. Dilepaskan dari siksa kubur.
3. Mendapat buku catatan amal melalui tangan kanan.
4. Melintas Titian Siratul Mustaqim sepantas kilat.
5. Masuk syurga Allah tanpa hisab.
Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya di dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut yang dianggapnya tidak dapat diterima oleh akal fikiran. Dia adalah seorang doktor neurologi. Setelah memeluk Islam dia amat yakin kepada perubatan secara Islam dan telah membuka sebuah klinik yang bernama "PERUBATAN MELALUI AL-QURAN". Kajian perubatan melalui Al-Quran membuatkan ubat-ubatan yang digunakannya adalah berteraskan Islam. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah dan biji hitam (black seed). Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa kajian saraf yang dilakukannya, dia mendapati terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia ini yang tidak dimasuki oleh darah. Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi dengan lebih normal. Setelah membuat kajian yang memakan masa akhirnya dia menemui bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak tersebut melainkan ketika seseorang tersebut sujud ketika solat. Urat tersebut memerlukan darah untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar waktu solat yang diwajibkan oleh Islam. Begitulah keagungan ciptaan Allah.
Jadi barang siapa yang tidak menunaikan solat maka otak tidak dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal. Oleh itu kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam "sepenuhnya" kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agamanya yang indah ini.
Kesimpulannya :
Makhluk Allah yang bergelar manusia yang tidak solat lebih-lebih lagi yang bukan beragama Islam walaupun akal mereka berfungsi secara normal sebenarnya di dalam sesuatu keadaan, mereka akan hilang pertimbangan di dalam membuat keputusan secara normal. Oleh itu, tidak hairanlah manusia ini kadang-kadang tidak segan-silu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan tersebut adalah bersalahan dengan kehendak mereka kerana otak mereka tidak boleh membuat pertimbangan secara lebih normal. Maka tidak hairanlah apabila timbul bermacam-macam gejala-gejala sosial masyarakat masa kini. Amalkanlah Islam secara keseluruhan bukan yang kita suka sahaja.
Saya berpesan kepada diri dan semua, janganlah gara-gara kehendak nafsu dan urusan duniawi, kita dengan sewenang-wenangnya meninggalkan solat.