Ahad, 9 September 2007

Kalau - apa salah daku...

Seringkali kita terdengar seseorang mengatakan kalau itu, kalau ini. Ada juga yang menahan diri dari menggunakan perkataan "kalau". Apa salah "kalau" sehingga diperlakukan sebegini?

"Kalau" atau perkataan yang mempunyai maksud sepertinya boleh dikaitkan dengan harapan dan keinginan atau mungkin juga angan-angan. Contohnya apabila kita berkata "Kalaulah aku ada duit..." atau "Kalaulah kejadian tu tak terjadi...".

Salahkah jika kita berharapan, berkeinginan atau berangan-angan? Rasanya tidak salah jika tidak melampau kerana angan-angan yang melampau itu dikhuatiri akan mematikan hati. Oleh itu, apa yang salahnya dengan "kalau" disini?

Kesalahan yang paling ketara ialah apabila kita menginginkan sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Seringkali kita terdengar hamba Allah berkata, "Kalaulah dia masih hidup, ..(sedangkan si dia sudah mati)" atau "Apa pendapat anda kalau peristiwa 11 September tidak berlaku...". Disini, pemikir melawan takdir Allah swt dengan mengungkapkan kata-kata yang berlawanan dengan ketentuan yang telah ditetapkan. Seolah-oleh perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Pemikiran seperti ini bukan sahaja adalah perkara yang sia-sia untuk dilakukan malahan boleh merosakkan akidah. Oleh itu, sebelum kita mengucapkan sesuatu, fikirlah dahulu. Adakah perkataan "kalau" yang kita gunakan itu sesuai untuk digunakan?

Fikir-fikirkanlah. Segala yang baik itu datangnya dari Allah swt dan yang buruk itu datang dari kesalahan saya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan